Pages

Friday, January 28, 2011

Ziwaj Da'awi ...Tanda wafa' seorang Rijal


Dakwah=Muntalaq

In Dakwah on June 21, 2010 at 1:13 pm

Ketika anda ketemu seorang lelaki yang begitu bersemangat, anda mungkin menganggapnya mantap dalam fikrah, cekal dalam azam dan akan mengorbankan segala-galanya untuk dakwah yang diyakininya.

Tapi bila berdepan dengan masa menentukan pilihan zaujah, anda tiba-tiba kecewa dengannya. Bukan kerana masalah atau paksaan keluarga, bukan kerana tekanan janji lama atau lain-lain uzur yang mungkin boleh diterima, tetapi ia kalah kerana sebab yang anda ragui kesanggupan pengorbanannya untuk dakwah.

Dia mungkin bersungguh-sungguh mencari seorang mad’u dan menDF, tapi dengan mudah ia membiarkan seorang ukhti yang telah lama berkorban dan bersedia untuk berkorban lagi, tetapi terpaksa terkorban kerana menjadi ahli baitul muslim yang tak ketentuan masa depannya.

Apakah hanya kerana umur yang hanya lebih banyak beberapa hari (ya… beberapa tahun lebih tua juga adalah beberapa hari), maka ia sanggup membiarkan seorang ukhti dilarikan arus keperluan kehidupan biasa dan kembali menjadi manusia biasa kategori MB atau MC?? Adakah hanya kerana wajah yang tidak secantik artis hiasan media massa maka ia sanggup korbankan manusia yang telah ditarbiyyah begitu lama oleh sang murabbiyah? Adakah kerana hanya untuk mengikuti kehendak mata dan ‘kononnya melaksanakan hadis dinikahi wanita kerana kecantikannya…..’ maka ia sanggup hanya melihat seorang ukhti dibawa kembali secara paksa atas kuasa seorang suami ke cara ‘hidup selesa’ dan ‘harmoni’?

Tidak…

tidak mungkin seorang rijal yang wafa’ (setia) dengan dakwahnya untuk membiarkan dirinya hanya melihat dakwah surut kerana kehilangan tenaga-tenaga yang telah di asuh dan di bina dengan susah payah tangan murabbiyah. Tidak mungkin juga seorang rijal sanggup gembira dengan rumahtangga barunya dari zaujah yang entah dari mana dan dia hidup heppi sedangkan akhawat di sana-sini menangis di heret ke alam hidup lama mereka kembali, bukan kerana kerelaan hati mereka.

Sampai bila kita hanya akan menjadi orang yang hanya berkorban harta dan tenaga tetapi tidak sanggup untuk mengorbankan keinginan mendirikan rumah tangga dengan pilihan ala ‘artis’nya.

Sungguh terharu mendengar ungkapan seorang sahabat:

“…. jika tidak kerana halangan keluarga, tidak kerana memelihara imej dakwah dan tidak kerana kekangan tohmahan masyarakat, nescaya ku lengkapkan bilangan 4 mengikut sunnah para sahabat demi menyelamatkan dakwah kita…. tetapi………………………….”

Sunday, December 26, 2010

Bila kita rasa kita telah tidak mampu.. fikirkan ini..



In Dakwah on November 2, 2010 at 5:29 am

Sahabat dan tabiin mengajarkan kita:
Safwan bin Amru (Gabenor di Hims-Syria) bercerita, aku telah berjumpa seorang tua yang telah jatuh keningnya menutupi kelopak matanya. Dia dalam perjalanan dari Damsyik (on the way to Turkey yg belum Islam time tu) berada di atas untanya. Dia ingin turut serta berperang ke sana. Safwan berkata : ‘pakcik tak payah lah, pakcik dah tua. Pakcik itu pun mengangkat kelopak matanya dengan tangannya (sebab dah terlalu tua) sambil berkata : wahai anak, Allah telah menyuruh kita berangkat dalam keadaan ringan atau berat..!
Said bin Musayyab (Seorang tabi’in besar – Menantu kepada Abu Hurairah) keluar untuk berperang, padahal matanya buta sebelah. Dikatakan kepadanya: ya Syeikh, sesugguhnya kau ni sakit. Dia mnjawab : Allah telah istanfara (menyuruh berangkat) orang-orang yang dalam keadaan ringan atau berat, kalaulah aku tidak mampu berjihad, aku nak juga pergi. At least jika akau tak boleh berperang, aku telah memperbanyakkan bilangan tentera (sokongan dr segi bilangan- ia tetap satu saham juga) atau aku boleh membantu jaga barang.

Berangkat baik dalam keadaan ringan mahupun berat!
Dan apa neraca infiru kita??!!
Tanya hati tanya iman, mahukah kita sambut setiap seruan Allah itu???!!
Sahabat-sahabat juga punya limit! Namun aku hairan dengan limit yang mereka beri pada diri mereka! Kerana seolah limit mereka bukanlah limit pada kita. Kerana apa ya mereka boleh begitu?

Kita masih belum push diri kita up to the limit. I’m stating here as a reminder for myself and the rest of you my ikwah wa akhawat, we force ourselves to stay wake up all nights just to finish the essays, coursework etc, tapi apabila kita diperlukan dakwah, simply we say ‘give me a break for a while’. (atau adakah kita belum memahami yg kita yg sangat-sangat butuhkan dakwah ini?)

(petikan dari tulisan dan catatan peminat QD)

Saturday, October 16, 2010

Tabiat Jalan Dakwah

oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia pada pada 16hb Oktober 2010 pukul 1.58 ptg

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Mari duduk bersama kami sesaat untuk memperbaharui iman. (“Ijlis binaa nu’min saa’ah”)

Itulah ungkapan Ibnu Mas’ud ra, seorang sahabat Rasulullah saw bahwa usaha untuk menguatkan maknawiyah dengan terus menjaga dan memperbaharui iman mesti terus dilakukan.

Dalam menjalani hidup ini, kita sering merasakan beratnya bebanan kehidupan seolah-olahnya terasa dunia itu begitu kejam kepada kita atau kadang-kadang terasa seperti kitalah manusia yang paling malang di dunia ini.

Namun ketika kita mendengar cerita-cerita dari orang lain di sekitar kita yang menghadapi masalah yang lebih berat tetapi mereka sabar, kita seperti dikuatkan dengan cerita mereka itu apalagi cerita tentang utusan-utusan Allah swt.

Allah swt berfirman :

“Sungguh pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Qur’an itu bukan cerita yang dibuat-buat tetapi membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang beriman“ (QS Yusuf : 111)

Tabiat jalan dakwah adalah perjuangan. Suka dan duka, ibarat dua sisi mata wang yang tidak pernah dapat dipisahkan.

Di sana bukan hanya terdapat kegembiraan dan kebahagiaan sahaja tetapi :

  1. Onak duri.
  2. Jalan yang penuh liku.
  3. Tentangan yang sentiasa menghalang.
  4. Keletihan.
  5. Kekeluan.
  6. Penderitaan.
  7. Duka nestapa.



Semua perkara di atas adalah hal-hal biasa yang sentiasa dihadapi oleh para pendakwah di jalan dakwah.

Sabar dan istiqamah adalah kata kunci yang menguatkan posisi pendakwah dalam menentukan keberlangsungan dan penerusan dakwah Islam.

APAKAH TABIAT JALAN DAKWAH?

Para ulama menyebutkan tabiat dakwah sebagai berikut :

  1. Jalannya panjang.
  2. Halangannya banyak.
  3. Pendokongnya sedikit.

Inilah hakikat dakwah di mana ianya adalah jalan yang penuh kemuliaan disisi Allah swt.

Maka oleh sebab itu dakwah tidak boleh dipikul dengan sikap bermudah-mudah oleh orang-orang yang malas.

Dakwah hanya boleh dipikul oleh orang-orang pilihan yang berkualiti.

Selain memiliki perasaan maknawi yang kukuh, ia juga mesti didukung dengan kefahaman yang benar dan utuh tentang dakwah samada menyangkut :

  1. Strategi.
  2. Keutamaan.
  3. Wasilah.
  4. Metod atau cara yang digunakan.

Dalam hubungan ini Allah swt berfirman :

“Sekiranya yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, namun tempat yang dituju itu terasa jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah ‘Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-sama kamu’. Mereka membinasakan diri mereka sendiri (disebabkan sumpah mereka yang palsu itu) dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang- orang yang berdusta“ (QS At Taubah : 42)

Dakwah mesti difahami sebagai aktiviti mulia di muka bumi.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ‘sungguh aku termasuk di antara orang-orang yang berserah diri.” (QS Fusshilat : 33)

Oleh kerana itu dakwah hendaklah dilakukan dengan :

  1. Kesedaran.
  2. Ilmu.
  3. Hikmah.
  4. Kefahaman.
  5. Pandangan yang luas.

Sejarah para Rasul telah memberi bekalan yang cukup untuk kita fahami bahwa perjalanan dakwah yang panjang dan berat akan terasa lebih menarik, dinamik dan mudah bila kita mengambil contoh daripada mereka.

Beberapa contoh yang boleh dipelajari antara lain :

1. Memberi keutamaan pembahasan kepada masalah Tauhid (Aqidah)

“Dan tidaklah kami mengutus sebelummu ( wahai Muhammad ) seorang Rasulpun melainkan kami wahyukan kepadanya bahwa sesungguhnya tiada Ilah yang (berhak disembah) melainkan aku, oleh kerana itu beribadahlah kepadaKu.” (QS Al-Anbiyaa’: 25)

2. Menggunakan adab yang baik seperti lemah lembut, juga tidak berharap perubahan objek dakwah terlalu cepat atau secara terus, tapi memberikan kesempatan kepada mereka untuk memikirkan dan menganalisa diri mereka sendiri.

Allah swt berfirman :

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, kerana dia benar-benar telah melampaui batas, maka bicaralah kamu berdua kepadanya ( Fir’aun ) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sabar atau takut.” (QS Thaha : 43 – 44)

Allah perintahkan Musa as dan Harun as untuk menyeru Fir’aun dengan lemah lembut.

Jika dengan Fir’aun yang zalim dan sombong itupun para Rasul yang mulia disuruh oleh Allah untuk bersikap lemah lembut apalagi kepada orang yang tidak sezalim dan sesombong Fir’aun, sudah semestinya kita lebih bersikap lemah lembut. Selain itu kita jangan lupa berdoa kepada Allah dan mengenal kelemahan diri.

Dalam ayat lain Allah swt berfirman :

“Dia Musa berkata Ya Rabbku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskan kekeluan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku, teguhkanlah kekuatanku, dengan adanya dia ( Harun ) dan jadikanlah dia teman dalam urusanku.” (QS Thaha : 25 – 32)

"Serulah kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS An-Nahl : 125)

"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu . Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya." (QS Ali Imran : 159)

3. Memberi ketenangan dan kekuatan dalam berpegang teguh pada kebenaran.

Dalam sejarah para Rasul, kita melihat mereka di zalimi dengan berbagai cara oleh umatnya. Kezaliman ini mereka terima kerana sikap istiqamah mereka terhadap kebenaran.

Allah khabarkan perkara ini dengan dengan maksud yang jelas seperti dalam ayat berikut :

“Dan semua kisah Rasul-rasul kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) agar dengan kisah itu kami teguhkan hatimu (untuk menguatkan kamu) dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.” (QS Hud : 20)

CONTOH PERLAKSANAAN DAKWAH

Mari kita susuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang pengikut Imam Hasan Al Banna yang sentiasa menjalankan tugas dakwahnya tanpa apa-apa keluhan walau sedikitpun.

Dialah yang disebutkan oleh Imam Hasan Al Banna di dalam Risalah Muktamar Kelima sebagai berikut :

“Sedikit sekali orang yang tahu ketika salah seorang pendakwah Ikhwan keluar dari tempat kerjanya pada hari Khamis petang, tiba-tiba sudah berceramah di Al Minya pada waktu Isya’. Di hari Jumaat ia menyampaikan khutbah di Manfaluth, Jumaat petangnya pula berceramah di Asyut dan setelah Isya’pada hari itu ia sudah berdakwah di Suhaaj. Kemudian ia kembali pada kebiasaannya iaitu pagi-pagi buta di hari berikutnya ia sudah berada di tempat kerjanya di Kaherah mendahului pekerja-pekerja lain.

Empat pertemuan besar di berbagai kota yang berjauhan mampu dijangkau oleh seorang pendakwah Ikhwan dalam waktu tiga puluh (30) jam, lalu ia kembali ke rumahnya dengan jiwa yang tenang dan hati yang damai seraya memanjatkan pujian ke hadhrat Allah atas taufiq yang dianugerahkan kepadanya dan tidak ada yang mengetahui perkara itu kecuali mereka yang mendengarnya.”

Dalam kisah ini, kita lihat bagaimana beliau sentiasa berpindah dari satu kota ke kota yang lain untuk menunaikan amanah dakwah dan setelah beliau menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, ia merupakan orang yang pertama sekali tiba ke tempat kerjanya malah, ia yang membukakan pintu pagarnya.

Suatu ketika ia pernah mengalami keletihan hingga tertidur di atas sofa di rumah Zainab Al-Ghazali semasa beliau diutus untuk berbincang dengannya.

Melihat keadaan tubuhnya yang keletihan dan kepenatan itu, tuan rumah membiarkan tetamunya tertidur sampai ia terjaga.

Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail meminta izin untuk bergegas ke kota lain pula. Disebabkan keletihan yang dialaminya, Zainab Al Ghazali menghulurkan wang untuk beliau naik teksi.

Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikan wang tersebut sambil mengatakan :

“Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.”

Zainab pun menjawab,

“Saya sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Oleh itu, gunakanlah wang ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.”

Ia pun menjawab,

“Berbahagialah ibu. Ibu telah berjaya menghadapi ujian Allah swt berupa kenikmatan-kenikmatan itu, namun, saya khuatir saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih di atas kebaikan ibu. Biarlah saya naik kenderaan awam sahaja.”

Itulah contoh orang yang telah membuktikan kesetiaannya kepada dakwah lantaran keyakinannya terhadap janji-janji Allah swt. Janji yang tidak akan pernah dimungkiri sedikit pun. Allah swt telah banyak memberikan janjiNya kepada orang-orang yang beriman yang setia pada jalan dakwah berupa berbagai anugerahNya sebagaimana yang terdapat dalam Al-Qur’an :

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (QS Al-Anfal : 29)

Dengan janji Allah swt tersebut, orang-orang beriman tetap bertahan mengharungi jalan dakwah ini kerana mereka pun tahu bahwa perjuangan yang berat itu sebagai kunci untuk mendapatkannya.

Semakin berat perjuangan ini semakin besar janji yang diberikan Allah swt kepadanya. Kesetiaan yang bersemayam dalam diri mereka itulah yang membuat mereka tidak akan pernah menyalahi janjiNya dan mereka pun tidak mahu merubah janji kepadaNya.

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).” (QS Al Ahzab : 23)

Pernah berlaku kepada seorang pejuang Palestin yang telah bertahun-tahun meninggalkan kampung halaman dan keluarganya untuk mendapatkan sokongan dunia dan dana dalam satu wawancara beliau ditanya:

“Apa yang membuatkan anda dapat bertahan meninggalkan keluarga dan kampung halaman dalam waktu yang cukup lama?”

Jawabnya,

“Kerana perjuangan dan jika bukan kerana dakwah dan perjuangan, kamipun mungkin tidak akan dapat bertahan lama.”

Dengan perjuangan itulah kemuliaan hidup mereka lebih bererti untuk masa depan bangsa dan tanah airnya.

Aktivis dakwah sangat menyakini bahwa kesabaran yang ada pada dirinyalah yang membuatkan mereka tabah menghadapi berbagai rintangan dakwah.

Jika dibandingkan apa yang kita lakukan serta yang kita dapatkan sebagai risiko perjuangan di hari ini dengan keadaan orang-orang terdahulu dalam perjalanan dakwah ini, belumlah dikira seberapa.

Pengorbanan kita di hari ini masih sekadar :

1. Pengorbanan waktu untuk dakwah.

2. Pengorbanan tenaga dalam amal kebaikan untuk kepentingan dakwah.

3. Pengorbanan sebahagian kecil dari harta kita yang banyak.

Namun cuba kita lihat pengorbanan orang-orang yang terdahulu, ada yang :

1. Dicakar dengan sikat besi.

2. Digergaji tubuhnya.

3. Diikat dengan empat ekor kuda yang berlawanan arah, lalu kuda itu dipukul untuk lari sekencang-kencangnya hingga robeklah badan orang itu.

4. Dibakar dengan tungku api yang berisi minyak panas.

Mereka dapat menerima risiko kerana kesabaran yang ada pada diri mereka.

Kesabaran adalah kenderaan pertahanan orang-orang yang beriman dalam meniti perjalanan ini. Bekalan kesabaran mereka tidak pernah berkurang sedikit pun kerana keikhlasan dan kesetiaan mereka kepada Allah swt.

“Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. (QS Ali Imran : 146)

Bila kita memandang kehidupan generasi pilihan, kita akan menemui kisah-kisah agung yang telah menyuburkan dakwah ini.

Muncullah satu pertanyaan besar yang seharusnya kita tujukan pada diri kita ketika ini iaitu :

Apakah kita dapat menyemai dakwah ini menjadi subur dengan perjuangan yang kita lakukan sekarang ini ataukah kita akan menjadi generasi yang hilang dalam sejarah dakwah ini?

Marilah kita benar-benar insafi bahwa dakwah ini tidak akan mampu dipikul oleh orang-orang yang manja dan yang mempunyai sikap bermudah-mudah kerana sebenarnya hanya perjuangan gigih tanpa mengenal penat lelah seseorang aktivis dakwah merupakan kenderaan yang akan menghantarkan kepada kejayaan.

Semoga pelajaran di atas menjadi catatan kita, para pendakwah dan bagi jiwa-jiwa yang bergelut dalam bidang dakwah serta memohon semoga Allah menghimpunkan kita dalam kebaikan.



Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi segala ujian dan cobaan yang muncul dalam perjuangan dakwah ini kerana sesungguhnya ia adalah tabiat asasi jalan ini. Limpahkanlah kesabaran yang tinggi kepada kami sehingga kami tetap berada dan berjalan di atas jalan ini samada kami gugur syahid di atasnya atau mendapat kurniaan kemenangan ke atas musuh-musuhMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahamd Sanadi Wan Ali

JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Sunday, September 26, 2010

Melaksanakan Hak Dakwah Dan Tarbiyah


oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia pada pada 26hb September 2010 pukul 11.24 pagi

http://selangor.ikram.org.my/

Apabila kita melihat kepada strata sosial di mana setiap para sahabat Rasulullah saw mewakili golongan masing-masing nescaya kita akan dapati sekurang-kurangnya ada 24 segmen atau lapisan masyarakat yang diwakili.

  1. Abu Bakar ra mewakili golongan tua dan tokoh masyarakat.
  2. Ali bin Abi Thalib ra mewakili golongan muda terpelajar.
  3. Khadijah binti Khuwailid ra mewakili golongan wanita pengusaha.
  4. Zaid bin Haritsah ra mewakili golongan tenaga kerja (khadam).
  5. Bilal bin Rabah ra mewakili golongan bekas hamba.
  6. Suhaib Ar-Rumi ra mewakili wilayah dunia barat (Romawi).
  7. Salman Al-Farisi ra mewakili wilayah dunia Timur (Parsi).
  8. Utsman bin Affan ra mewakili golongan saudagar.
  9. Asma’ binti Abu Bakar ra mewakili golongan aktivis perempuan.
  10. Aisyah binti Abu Bakar ra mewakili golongan wanita terpelajar.
  11. Umar bin Khattab ra mewakili golongan elit dan penjawat awam.
  12. Usamah bin Zaid ra mewakili anak-anak belasan tahun (remaja lingkungan).
  13. Abdullah bin Umar ra mewakili golongan remaja terpelajar.
  14. Hasan bin Tsabit ra mewakili golongan pujangga dan penyair.
  15. Zaid bin Tsabit ra mewakili golongan muda ahli bahasa.
  16. Mus’ab bin Umair ra mewakili golongan elit muda bandar.
  17. Abdullah bin Ummi Maktum ra mewakili golongan orang kelainan upaya (OKU).
  18. Rafi’ bin Khudaij ra mewakili olahragawan dalam sukan memanah.
  19. Samrah bin Jundab mewakili olahragawan sukan gusti.
  20. Rufaidah ra mewakili golongan doktor dan perawat (tenaga medik).
  21. Al-Habbab bin Mundzir ra mewakili golongan tentera dan ahli strategi perang.
  22. Nuaim bin Mas’ud ra mewakili golongan ahli strategi dan pengurusan konflik.
  23. Ummu Aiman ra mewakili golongan wanita pekerja dan ibu rumahtangga.
  24. Abdullah bin Mas’ud ra mewakili golongan Qurra’ (Qari Al-Qur’an).

Daftar panjang nama sahabat-sahabat terkemuka yang mewakili berbagai segmen atau lapisan masyarakat yang ada merupakan gambaran kejayaan dakwah dan tarbiyah di zaman Rasulullah saw yang menyentuh hampir semua segmen yang ada di dalam masyarakat.

Kejayaan Rasulullah saw dalam membentuk dan membina para sahabat dari berbagai segmen tersebut menunjukkan pula keyakinan beliau bahwa semua segmen sosial memiliki potensi dan peluang sumbangan yang sama dalam memastikan jalan dakwah menuju kemenangan.

Kehadiran semua segmen sosial itu merupakan sebuah dokongan dan sinergi kekuatan bagi perjuangan menegakkan kebenaran. Selain itu, ia juga menyebabkan terbangunnya sebuah kesedaran kolektif yang kemudiannya melahirkan kekuatan kolektif yang pada akhirnya menandakan lahirnya sebuah peradaban baru dengan perubahan paradigma, sikap dan perilaku.

Ajaran Islam yang menyeluruh dan sempurna di zaman Rasulullah saw tidak hanya difahami dalam jajaran berbentuk konsep semata-mata, tetapi juga dipraktikkan pada jajaran berbentuk operasi sehingga jangkauan operasi dakwah beliau menjalar hampir ke semua segmen masyarakat.

Tidak ada satu segmen pun dalam masyarakat yang luput dari fokus sasaran dakwah dan tarbiyah dimulai dari :

  1. Kalangan muda hingga orang tua.
  2. Anak-anak hingga remaja.
  3. Hamba hingga orang merdeka.
  4. Fakir miskin hingga saudagar kaya.
  5. Buruh kasar hingga tenaga pakar.
  6. Masyarakat biasa hingga kumpulan elit politik.
  7. Olahragawan hingga pujangga.

Gambaran tersebut menunjukkan bahwa Rasulullah saw telah berhasil secara optimum memenuhi hak-hak tarbiyah semua orang kerana setiap orang berhak ditarbiyah agar memiliki pemahaman dan pengamalan nilai-nilai Islam secara baik tanpa memandang segmen sosial dari mana ia berasal.

Sepertimana :

Kemerdekaan adalah hak asasi setiap bangsa.

Maka :

Tarbiyah adalah hak yang mendasar pula bagi setiap manusia.

Oleh sebab itu Rasulullah saw diutus untuk menyampaikan risalah Allah swt dalam rangka memenuhi hak-hak seluruh manusia untuk memperolehi kebenaran seperti yang termaktub dalam Al Qur’an :

“Dan kami tidak mengutus kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, tapi kebanyakan manusia tiada mengetahui” (QS Saba’ : 28)

FALSAFAH TARBIYAH

Secara harfiah, perkataan tarbiyah tidak terdapat dalam Al-Qur’an, tetapi perkataan tersebut secara tersiratnya ada dalam istilah `ribbiyyuna katsir’seperti dalam ayat berikut :

“Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran : 146)

`Ribbiyyun’ menunjukkan hasil dari sebuah proses tarbiyah yakni orang-orang yang ditarbiyah.

  1. Mereka telah mendapatkan arahan rabbani secara intensif sehingga wawasan dan pemahaman mereka tumbuh dan berkembang serta keperibadian mereka terbentuk dan diwarnai dengan nilai-nilai Islam.
  1. Fikrah mereka juga terisi dengan pengetahuan yang mendalam mengenai dasar-dasar keislaman, baik masalah akidah, ibadah dan muamalah serta akhlak.

Kesemua itu akhirnya membuatkan peserta-peserta tarbiyah tersebut :

  1. Memiliki keupayaan berfikir yang kuat.
  2. Tidak mudah takut.
  3. Tidak mudah lemah dan menyerah dalam menghadapi berbagai rintangan di jalan dakwah.
  4. Tidak tinggal diam atau membisu.
  5. Menampakkan kesungguhan daya juang yang tinggi.
  6. Memiliki kesabaran yang produktif di jalan dakwah.

Kalau dilihat secara sepintas lalu, seolah-olah tidak ada perbezaan antara istilah dakwah dan tarbiyah, tetapi sebenarnya ada perbezaan yang spesifik di antara kedua istilah tersebut.

Pengertian dakwah dalam Al-Qur’an lebih bersifat umum yakni berbentuk tabligh dan ta’lim iaitu hanya menyampaikan dan mengajarkan sahaja sehingga ianya bersifat satu arah.

Sementara pengertian tarbiyah menunjukkan adanya intensiti pembinaan, hubungan, penilaian dan komunikasi dua arah.

Perbezaannya memang lebih kepada masalah teknik pengoperasiannya sehingga mungkin dapat dikatakan bahwa tarbiyah adalah dakwah khusus kerana bersifat lebih menjiwai dan mendalam.

Demikian pula halnya dengan pengertian pendakwah dan murabbi.

Tugas pendakwah lebih merupakan usaha :

  1. Membuka wawasan.
  2. Mengetuk pintu nurani dan masih bersifat sementara baik dari segi kekerapan mahupun keterikatan hubungan dengan orang-orang yang didakwahkannya.
  3. Bersifat satu arah dalam hal komunikasi.

Sedangkan murabbi memiliki :

  1. Kekerapan dan keterikatan hubungan yang lebih kekal.
  2. Penggunaan komunikasi dua arah sehingga berlakunya proses simbiosis secara timbal balik.

Di satu segi, seorang murabbi memberikan `output’ tarbawi namun di segi lain tetap memerlukan `input’ tarbawi dari para mutarabbinya.

Oleh sebab itu terdapat arahan kuat dari Allah swt agar kita menjadi `rabbaniyyin’ (orang-orang yang ditarbiyah) yang sentiasa bersemangat mengajarkan Al-Qur’an dan juga mengkaji Al Qur’an secara intensif sebagaimana friman Allah swt :

“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.” Akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.” (QS Ali Imran : 79)

Secara psikologinya, memang ada perbezaan antara pendakwah dan murabbi. Setiap murabbi pasti juga ia seorang pendakwah, tetapi tidak semua pendakwah-pendakwah menjadi murabbi. Kayu ukur perbezaannya ada pada tahapan dan cara kerja serta hasilnya.

Pengertian pendakwah boleh diumpamakan seperti usaha yang baru sampai pada tahapan membuka hutan dan menyemai benih tanaman, tetapi belum menumpukan dengan program-program berterusan yang akan merawat benih tersebut agar dapat tumbuh dan berkembang menjadi pohon yang berkualiti yang akarnya menghunjam kuat ke dalam perut bumi serta produktif berbuah setiap saat sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Qur’an :

“Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.” (QS Saba’ : 24)

Jadi, pendakwah belum sampai kepada tahapan merubah akhlak dan membentuk keperibadian.

Sebahagian pendakwah dilihat dari tatacara kerjanya, menunjukkan kecenderungan menerapkan sistem `one man show’ atau `single fighter’.

Mereka memiliki aspek keperibadian yang dominan sehingga orang-orang yang di bawah pengaruh dakwahnya lebih kuat mempunyai komitmen berbentuk peribadi yang ada hubungan emosi-karismatik berbanding komitmen terhadap nilai yang rasional.

Kesan ini masih sangat kental mewarnai hubungan sebahagian pendakwah dengan ummatnya sehingga justeru memelihara hairaki sosial, pengagungan terhadap individu dan fanatik peribadi meskipun ianya dibungkus dengan kemasan Islam.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahwa secara umumnya para pendakwah bentuk ini baru sampai pada taraf menyemarakkan arena dakwah dengan aneka ceramah yang lebih berbentuk retorik. Jadi sebenarnya, ia belum sampai pada tahap merubah secara `revolusi’ sebagaimana semangat perubahan yang mewarnai generasi pertama di zaman Rasulullah saw.

Sedangkan sebaliknya seorang murabbi lebih menekankan pada komitmen nilai dan bukannya komitmen keperibadian sehingga tidak berlaku penumpuan hanya kepada satu tokoh yang karismatik. Di samping itu, murabbi lebih memberikan perhatian pada proses tarbiyah dan mengembangkan semangat dialog dan penyertaan aktif dalam kerangka amal jama’ie.

Rasulullah saw dan para sahabat lebih berperanan sebagai murabbi berbanding pendakwah, maka oleh kerana itu, tidak seorang sahabat pun yang menyandang gelaran sebagai `Pendakwah Terkenal’. Namun kerja dakwah mereka begitu nyata dan produktif dalam hal mentarbiyah, membina dan membentuk peribadi, rumah tangga dan masyarakat yang Islamik.

Strategi dakwah `one man show’ atau `single fighter’ tidak pernah diterapkan oleh Rasulullah saw dalam berdakwah dan berjuang.

Beliau benar-benar sedar bahwa ianya tidak mungkin secara sendirian memenuhi hak tarbiyah semua orang dari berbagai segmen di dalam masyarakat. Oleh kerana itu beliau tidak membiarkan peranan sebagai murabbi bertumpu kepada dirinya. Beliau menanamkan semangat dan mengagih-agihkan tugas-tugas sebagai murabbi kepada para sahabat.

Para sahabat Rasulullah saw adalah sesuai dengan penguasaan mereka masing-masing dan secara aktif melakukan pembinaan tarbawi.

Abu Bakar ra misalnya berjaya mengambil dan mentarbiyah orang-orang yang berada di segmen yang sama dengannya yakni kalangan tokoh dan saudagar kaya.

Mush’ab bin Umair ra sangat produktif dalam mentarbiyah golongan elit politik Madinah.

Abdullah bin Ummi Maktum ra menunjukkan prestasinya dalam mentarbiyah lapisan masyarakat kelas bawah.

Ada juga yang tidak terduga di mana seorang bekas hamba iaitu Khabbab bin Al-Arath secara diam-diam berjaya mentarbiyah adik Umar bin Khattab iaitu Fatimah binti Khattab dan suaminya Sa’id bin Zaid di mana secara tidak langsung, Fatimah juga menjadi sebab kemasukan Umar bin Al Khattab ra ke dalam Islam.

HAK DAN KEWAJIBAN TARBIYAH

Secara umumnya setiap orang sangat senang dan memberi tindak balas dengan penuh minat apabila hak-haknya dibicarakan dan diperjuangkan. Lebih-lebih lagi apabila hak-hak yang ditawarkan tersebut berbentuk material, maka semua tangan akan menjulur ke depan, berlumba-lumba terlebih dahulu untuk mendapatkan haknya. Namun tidak demikian halnya dengan hak tarbiyah.

Tidak semua orang mahu menerimanya apalagi sampai memintanya. Oleh sebab itu diperlukan usaha memberi kesedaran dan penjenamaan semula agar setiap orang dengan senang hati mahu menerima dan bahkan menuntut haknya untuk ditarbiyah iaitu haknya untuk mendapatkan pengarahan yang benar dalam memahami dan melaksanakan nilai-nilai Islam.

Jika di satu segi, tarbiyah adalah hak semua orang, maka di segi yang lain mesti difahami bahwa tarbiyah merupakan kewajiban bagi sebahagian orang.

Mereka adalah orang-orang yang telah mendapatkan kurniaan kebaikan dari Allah berupa hidayah dan kelapangan dada untuk menerima dan melaksanakan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Sebagai bukti rasa syukur kepada Allah di atas segala kurniaan dan hidayah yang diberikanNya, maka seseorang itu mestilah berbuat baik kepada orang lain dengan cara mentarbiyahnya sebagaimana firman Allah swt dalam Al Qur’an :

“Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu” (QS Al Qasshass : 77)

Jadi, TARBIYAH adalah HAK dan sekaligus KEWAJIBAN.

Setiap muslim mesti berusaha menjadi orang-orang yang `rabbani’ yang sentiasa berusaha memperolehi hak-haknya dan kemudiannya menunaikan kewajibannya mentarbiyah orang lain.

Tidak ada satu alasan pun untuk mengurangi hak-hak tarbiyah seseorang walaupun ia seorang ahli maksiat.

Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya `Ushulud Dakwah’, menceritakan bahwa mereka mesti tetap dipandang dengan penuh rasa sayang dan belas kasihan serta dipenuhi hak-hak tarbiyahnya agar suatu ketika ia menjadi insaf.

Demikianlah yang dicontohkan oleh Rasulullah saw dalam sikapnya terhadap Ikrimah bin Abu Jahal. Ikrimah selama ini dikenali sebagai penjahat perang yang tidak pernah ketinggalan di barisan hadapan dalam memerangi umat Islam. la memiliki dendam kesumat dan sentiasa ingin melampiaskannya dengan cara memerangi umat Islam kerana ayahnya Abu Jahal terbunuh di dalam Perang Badar.

Namun ketika peristiwa pembukaan Makkah, ia menyerahkan dirinya kepada Rasulullah saw dengan mengenderai kuda. Sesampainya di khemah Rasulullah saw, ternyata ia disambut oleh Rasulullah saw dengan penuh kehangatan dan kasih sayang:

“Marhaban Birrakibil Muhajir” “Selamat datang wahai si penunggang kuda yang hendak berhijrah (dari jahiliyah kepada Islam).”

Perlakuan Rasulullah saw yang penuh simpati dan penuh kelembutan membuatkan Ikrimah:

  1. Bersimpuh di pangkuan tarbiyah Rasulullah saw.
  2. Bertukar 180 darjah dan mengisi lembaran-lembaran kehidupannya dengan kebajikan-kebaijkan yang luar biasa.
  3. Berubah menjadi penulis wahyu yang diabadikan di dalam kitab-kitab tafsir hingga saat ini.
  4. Mendapatkan kurniaan syahadah dalam perang Yarmuk di masa kekhalifahan Abu Bakar As-Siddiq ra.

Oleh kerana itu, tidak ada alasan untuk mengabaikan hak-hak tarbiyah seseorang hanya kerana ia dianggap tidak mempunyai harapan lagi atau mendahului kehendak Allah dengan menganggap bahwa orang tersebut sudah ditakdirkan untuk binasa dan diazab oleh Allah swt.

Bukankah Rasulullah saw sentiasa berusaha dengan mujahadah lahiriyah dan batiniyah agar dapat memenuhi hak-hak tarbiyah kaum Quraisy termasuk kaum elitnya, sehingga beliau pernah secara khususnya berdoa agar Allah berkenan kiranya memberi hidayah kepada salah seorang di antara dua Umar,

“Allahumma a’izzal biahadil umarayn” (Ya Allah muliakanlah Islam dengan dua Umar, Umar bin Al Khattab dan Amru bin Hisyam (Abu Jahal))”.

Maka doa baginda dikabulkan dengan masuk Islamnya Umar bin Al Khattab yang memberi petanda awal kebangkitan dakwah Islam.

Rasulullah saw bahkan tetap menunjukkan semangat mentarbiyah orang lain meskipun usianya sudah di ambang senja. Bukankah beliau mulai mentarbiyah para sahabatnya ketika usianya sudah menjangkau empat puluhan?

Oleh kerana itu, jangan sampai ada anggapan bahwa semangat mentarbiyah adalah semangat untuk darah muda ketika kita masih menjadi pelajar atau mahasiswa sehingga ketika kita sudah berkeluarga, usia bertambah dan disibukkan dengan aktiviti mencari keperluan hidup dan mengurus keluarga, kewajiban mentarbiyah pun ditinggalkan.

Sayugianya, kemahiran mentarbiyah tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana para sahabatpun ketika di usia senja, mereka masih terus mengasah keterampilan memanah mereka.

Ketika ditanya oleh seseorang :

“Mengapa kamu setua ini masih lagi terus berlatih memanah?” ternyata jawabannya sungguh mencengangkan kita.

“Aku merasa berdosa kalau kemahiran yang pernah kudapatkan di saat Rasulullah masih ada hilang begitu sahaja kerana telah aku tinggalkan.”

Selain merupakan kewajiban, kegiatan mentarbiyah adalah suatu usaha agar dapat memiliki alasan untuk berlepas diri apabila kelak nanti diminta pertanggungjawabannya di sisi Allah swt iaitu telah dilakukan satu usaha optimum untuk mengajak orang lain kepada kebenaran sesuai dengan manhaj yang diajarkan oleh Rasulullah saw.

Kewajiban seorang murabbi hanyalah mentarbiyah, sementara hak memberi hidayah sepenuhnya di tangan Allah swt.

Tidak seorang pun berhak mendahului kehendak Allah bahwa orang atau kelompok tertentu tidak perlu lagi didakwah atau ditarbiyah kerana dianggap layak atau sepantasnyalah dibi-nasakan dan diazab oleh Allah swt.

Seseorang yang faham benar tentang kepentingan mentarbiyah tidak akan mudah berputus asa dan mendahului kehendak Allah. Sebaliknya ia memiliki motivasi yang semakin kuat untuk mentarbiyah agar memiliki alasan berlepas diri untuk pertanggungjawaban di hadapan Allah swt kelak sebagaimana firman Allah swt dalam Qur’an:

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati satu kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa”. (QS Al A’raf : 164)

PENTARBIYAHAN SEGMEN WANITA

Kesempurnaan Islam tidak hanya nampak dari segi komprehensif ajarannya tetapi juga terlihat dari kelengkapan segmen pendukungnya. Perkara itulah yang menyebabkan Islam dapat berkembang dan memiliki susunan sosio-politik yang kuat.

Di zaman Rasulullah saw, seluruh segmen masyarakat diperkuatkan agar dapat memberikan sumbangan bagi kejayaan Islam.

Contohnya dalam segmen ketenteraan, Rasulullah saw memperkukuhkan asas ketenteraannya dengan program pemindahan teknologi persenjataan perang dari negara lain. Beliau mengutus dua orang sahabatnya untuk mempelajari teknologi senjata jenis manjanik.

Perhatian Rasulullah saw yang besar terhadap segmen ketenteraan tidak membuatkan beliau berkurang perhatiannya terhadap segmen-segmen lainnya, misalnya segmen kewanitaan.

Islam memberikan kesamarataan antara laki-laki dan wanita dalam ketakwaan, peluang memberikan sumbangan amal seperti firman Allah swt :

“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): “Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain.” (QS Ali Imran : 195)

Begitu juga hak untuk mendapatkan tarbiyah secara optimum kerana memiliki hubungan persahabatan yang berlandaskan keimanan dan amal soleh sebagaimana firmanNya :

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS At Taubah : 71)

Rasulullah saw memberikan perhatian khusus untuk mentarbiyah segmen wanita kerana menyedari peranan dominan wanita dalam mentarbiyah anak-anaknya dan kaumnya. Bahkan dalam sebuah perumpaman dikatakan bahwa wanita adalah madrasah, sekolah yang mendidik sebuah generasi :

“Ibu adalah madrasah. Jika kamu mempersiapkannya dengan baik maka bererti kamu telah mempersiapkan sebuah generasi yang baik.”

Isteri-isteri Rasulullah saw (ummahatul mukminin) dan para shahabiyah telah membuktikan peranannya sebagai madrasah yang sentiasa mentarbiyah anak-anaknya dengan celupan Islam. Bahkan dapat dikatakan hampir tidak ada anak-anak sahabat yang tidak mewarisi nilai-nilai kebaikan dari orang tuanya.

Sebut sahaja misalnya Usamah bin Zaid yang dibesarkan dan dididik oleh ibundanya Ummu Aiman ra. la menjadi panglima perang dalam usia 18 tahun.

Begitu pula Abdullah bin Zubair yang akhirnya menemui syahadah dalam mempertahankan prinsip, dididik dengan baik oleh ibunya, Asma’ binti Abu Bakar ra.

Begitu juga Umar bin Abdul Aziz rahimahullah, seorang Khalifah Bani Umayyah yang benar-benar mewarisi keutamaan akhlak dan perangai datuknya, Umar bin Al Khattab ra. Ibu Umar bin Abdul Aziz adalah seorang gadis penjual susu yang jujur yang kemudiannya dinikahi oleh Ashim bin Umar bin Umar atas anjuran ayahnya, Umar bin Al Khattab.

Peranan sahabiyah dalam mentarbiyah anak-anaknya sangat besar sahamnya dalam melahirkan sebuah generasi yang tetap menjaga ketulenan Islam (ashalah Islamiyah) yang kemudiannya dikenali sebagai generasi tabi’in dan tabiit-tabi’in.

Mengapa para sahabiyah yang sekaligus merupakan isteri shahabat-shahabat Rasulullah saw mampu melakukan kerja besar seperti itu?

Ternyata jawabannya adalah kerana mereka tidak sekadar menanti atau menerima hak-hak tarbiyahnya, melainkan meminta dan menuntut langsung hak-hak tarbiyah mereka kepada Rasulullah saw sebagaimana beliau memenuhi hak-hak tarbiyah para sahabat.

Dalam satu riwayat disebut bahwa para isteri sahabat suatu ketika merasa irihati kepada suami-suami mereka kerana sentiasa mendapat wawasan dan pengetahuan yang baru dari Rasulullah saw. Mereka lalu menghadap Rasulullah dan memohon pada baginda agar mereka mendapatkan hak yang sama seperti yang didapati oleh para suami mereka.

“Wahai Rasulullah, berikanlah kesempatan dan waktu buat kami, satu atau dua hari untuk mendapatkan pengajaran syariat Islam darimu,”

Tuntut mereka dengan penuh semangat.

“Berkumpullah kamu pada hari ini dan ini.”

Demikianlah Rasulullah saw langsung menyahut kesungguhan dan semangat mereka dalam menuntut pemenuhan hak-hak tarbiyah mereka.

Ya Allah, kurniakanlah kekuatan dariMu sehingga kami mampu menarik sebanyak mungkin golongan manusia dari berbagai segmen yang akan memperkukuhkan gema dakwah dan tarbiyah yang menjadi hak dan kewajiban setiap orang dalam menegakkan syariatMu di muka bumi ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS Shah Alam30/6/2010 @ 6:03 PM

Sahabat Dalam Kafilah Dakwah

oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia pada pada 26hb September 2010 pukul 3.59 pagi


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Perjalanan dakwah ini memang panjang dan meletihkan.

  1. Kadang-kadang, mungkin kita termengah-mengah kehabisan nafas untuk terus menjejakkan kaki hingga sampai ke tujuan.
  2. Kadang-kadang, mungkin kita tersenggok-senggok merasa tidak kuat dan hampir tertinggal oleh derapan serta gerakan para kafilah dakwah ini.
  3. Kadang-kadang, mungkin kita tersangkut dan terjatuh oleh aral yang melintang serta kesulitan yang dihadapi dalam perjalanan.

Tidak seorangpun di antara kita yang tidak pernah mengalami suasana perasaan seperti itu bahkan hampir semua kita, walau sekukuh manapun keperibadiannya, pasti akan mengalami situasi lemah dan merasa kekurangan tenaga.

Memang demikianlah sifat jiwa manusia sepertimana yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw dalam salah sebuah hadits sahih bahwa keimanan itu ada kalanya bertambah dan berkurang. Ia bertambah kerana amal soleh dan berkurang kerana kemaksiatan.

Tapi kita perlu ingat bahwa :

  1. Selama kita berusaha untuk tetap berada dalam kafilah ini, insyaAllah, kelemahan dan kekurangan kita tidak akan mampu menjatuhkan kita.
  2. Selama kita tetap komitmen bergerak dalam orbit komuniti jama’ah dakwah, insyaAllah kita akan menerima banyak keistimewaan dan barakah.
  3. Selama kita tetap memelihara hubungan baik dengan kafilah dakwah, insyaAllah semua kelalaian dan penyimpangan kita kemungkinan besar akan dapat diluruskan dan kembali kepada jalan yang benar.

Kesimpulannya adalah :

Kita hanya akan jatuh terhina, tenggelam dan terseret oleh arus yang lain tatkala kita berada di luar arus atau orbit jama’ah dakwah.

Salah satu barakah hidup bersama orang-orang soleh adalah, mereka sentiasa mampu memberi nasihat dan pencerahan hati bagi orang yang duduk bersamanya.

Sabda Rasulullah saw :

“Sebaik-baik sahabat adalah, orang yang bila engkau melihatnya, menjadikan kamu mengingati Allah”.

Renungkanlah perkataan Rasulullah saw tersebut.

Hanya sekadar melihat seorang teman yang soleh akan memberi cahaya kesolehan yang berbeza dalam diri orang yang melihatnya.

Melihat orang lain yang lebih tinggi kadar ibadah, zuhud, jihad dan ilmunya, pasti akan memberi pengaruh yang besar dalam diri kita.

Merekalah orang yang akan mempengaruhi tahap kezuhudan, ibadah dan jihad kita. Oleh kerana itu, para sahabat generasi pertama disebut sebagai generasi istimewa antara lain lantaran mereka sentiasa hidup bersama Rasululluh saw.

Di dalam kitab `Nuzhatul Fudhola’, ada seorang salaf mengatakan :

“Jika aku merasakan kekesatan hati, maka aku segera pergi dan melihat wajah Muhammad bin Wasi’”.

Abdullah bin Mubarak juga pernah mengatakan :

“Jika aku melihat wajah Fudhail bin Iyadh, aku biasanya menangis”.

Itulah salah satu prinsip yang dipegang oleh orang-orang soleh terdahulu. Bagi mereka, bertemu dengan saudaranya adalah bekalan kerohanian yang dapat membawa kepada kebangkitan ruhani mereka dan memang demikianlah yang berlaku.

Mari kita semak sebuah kisah yang disampaikan oleh Ibnul Qosim, salah seorang ulama fiqh di Mesir yang wafat pada tahun 191 H sebagaimana yang dinukilkan di dalam kitab `Tartibul Madarik’:

“Aku pernah mendatangi Imam Malik sebelum waktu fajar. Aku tanyakan dia tentang dua masalah, tiga masalah, empat masalah dan aku benar-benar melihatnya dalam suasana lapang.

Kemudian aku mendatanginya hampir setiap waktu sahur. Kadang-kadang kerana keletihan, mataku terasa mengantuk dan aku tertidur. Ketika Imam Malik keluar ke masjid, aku tidak mengetahuinya.

Kemudian aku dibangunkan oleh pembantunya sambil mengatakan:

“Gurumu tidak tertidur seperti kamu, padahal ketika ini usianya telah mencapai 49 tahun. Setahuku, ia hampir tidak solat subuh melainkan dengan wudhu’ yang dipakai untuk solat Isya’.”

Apakah yang terlintas dan terdetik di dalam jiwa kita tatkala mendengar kisah di atas?

Subhanallah!, riwayat-riwayat seperti itu banyak disampaikan dalam atsar sehingga sulit bagi kita untuk tidak menerimanya sebagai suatu kebenaran.

Disebutkan di sana, wudhu’ Imam Malik tidak batal sepanjang malam dalam rentang waktu hampir separuh abad di mana keadaan seperti ini biasa dilakukan pada malam-malam musim panas.

Maknanya, Imam Malik rela untuk menyedikitkan makan dan minum sepanjang hari sehingga ia mampu memelihara wudhu’nya.

Tercatat juga di dalam kitab `Nuzhatul Fudhola’ bahwa salah seorang salafus soleh pernah bercerita :

“Aku pernah bangun pada waktu sahur untuk mempelajari Al Qur’an kepada Ibnu Akhram, seorang ulama’ Damsyik. Tapi ternyata kehadiranku telah didahului oleh sekitar 30 orang dan aku belum memperolehi giliran sampai datang waktu asar.”

Kebiasaan pada waktu itu, setiap orang diberi giliran untuk mempelajari Al Qur’an sekitar 2 halaman.

Lihatlah terhadap kesabarannya yang luar biasa untuk menanti giliran membaca 2 halaman Al Qur’an dari sebelum fajar hingga waktu asar. Yang lebih menghairankan lagi, kedatangannya sebelum fajar telah didahului oleh kurang lebih 30 orang.

Membaca dan menelaah tatacara kehidupan orang-orang soleh juga mampu membangkitkan semangat baru dalam diri kita. Boleh dikatakan, membaca dan menelaah kehidupan mereka hampir sama dengan kita menziarahi dan berhadapan dengan mereka sehingga kitapun menerima barakah dari Allah kerananya.

Oleh kerana itulah, Imam Ibnul Jauzi pernah mengatakan di dalam kitab `Qimmatuz zaman `indal ulama” :

“Aku berlindung kepada Allah dari tatacara kehidupan orang yang tidak mempunyai cita-cita tinggi hingga dapat diteladani oleh orang lain yang tidak mempunyai sikap wara’ yang boleh ditiru oleh orang yang ingin berzuhud.

Demi Allah, hendaklah kamu mencermati perilaku suatu kaum, mendalami sifat dan berita tentang mereka kerana dengan memperbanyakkan meneliti kitab-kitab mereka adalah sama dengan melihat mereka.

Bila engkau mengatakan telah mendalami 20,000 jilid buku, bererti engkau telah melihat mereka melalui kajian engkau terhadap tingkatan semangat mereka, kepandaian mereka, ibadah mereka, keistimewaan ilmu yang tidak pernah diketahui oleh orang yang membacanya……..”

Maka, marilah kita sering mengunjungi saudara kita di atas jalan ini. Jangan jauhkan mereka dari hati kita.

Selalulah berkunjung, bertatap muka dan memandang wajah mereka. Di sanalah kita akan menemui keberkatan hidup berjama’ah yang dapat memberi bekalan bagi jiwa agar kita dapat meneruskan perjalanan ini hingga sampai ke tujuan dan matlamat yang terakhir iaitu ridha Allah dan syurgaNya.

Ya Allah, kekalkanlah kaki-kaki kami di atas jalan dakwah yang mulia ini walaupun perjalanannya panjang dan meletihkan serta dipenuhi oleh segala onak dan duri. Jadikanlah sahabat-sahabat seperjalanan kami sebagai teman setia yang mampu memberi kekuatan tenaga dan pencerahan hati kepada kami sehingga kami menemuiMu dalam keadaan mendapat keridhaanMu serta syurga yang dijanjikan.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali (WAS)Shah Alam29/6/2010 @ 5:41 PM

Saturday, September 18, 2010

Kata2 Ustaz..

Masa belajar mmg masa paling mencabar, ttp itulah masa paling menyeronokkan bg yang ingin sampai puncak kejayaan dalam hidup. Kerana tiada kelazatan melainkan setelah kerja keras, setelah keletihan. (Murabbi-ku U.Ali Fathollah Harun) akn ku ingat.


Adakah aku masih ingat lagi kate2 ni..erm.....


apelah nak jd ni..!
..org duk harapkan kta utk mbawa satu perkara yg bermanfaat utk mrk..
tp duk leka kat tempat orang.

apelah nak jd hang nii..

Aku-"yeerrrrrr...mulai ri ni aku akan merubah dan terus berubah untuk Kebaikn ummah ni..

Boss-Baguslahhh.. jangan cakap jee,tp hang mesti berusaha sungguh2..tengok mcm bidin, dah tahun 4 kat jamiah eman..
..jangan cepat mengalah, pabila di landa kesusaha blaja ni..mmg lumrah susah senang nii.. hang bru je sampai kat yaman ni,x kan nak mengalah..ish3

Aku-ok5..aku akan Berusaha sungguh3,i.Allah dan akan mmbawa kekuatan utk ummah ni..

Boss-Baguslah..kmi sentiasa Doakn Hampa.. Teruskan Perjuangan,
Allah swt x sia2 kan org blaja agama ni..ingat jaga Ibadah dgn Allah,d situlah terletaknya Kekuatan..jgn Lupa bangun utk Qiamulail..

Aku-Trima kasih,i.Allah ana usaha semmpu diri ni..

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (QS. 3:139)

Saturday, August 21, 2010

Apa Yang Kita Lalui Bersama..

Berusahalah memperbaiki akhlaq,miskipun terpaksa menghilangkan segala kepentingan diri..
Dengan senantiasa Muhasabah Diri..

Aku Mengerti Diri ini penuh dengan Cacat celanya...

Alhamdulillah,
aku Bersyukur pada Allah swt
yang menjadikan aku ada,


Dan sekarang x payah melihat kelebihan org lain,
tp melihat Diri sendiri,lalu menjahit baju yang koyak(memperbaiki diri)..
Moga Diri tdk sibuk mencari aib saudaranya,
Tetapi sibuk muhasah diri,dalam Rangka mencari Redha Allah swt.. i.Allah..


Ya Allah,
kurniakanlah hamba-Mu kekuatan, agr daku istiqomah, dalam mengharungi cabaran dan dugaan yang penuh dgn duri..


Doakn ana teman-teman.Moga d permudahkan jalan nya