Pages

Sunday, September 26, 2010

Melaksanakan Hak Dakwah Dan Tarbiyah


oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia pada pada 26hb September 2010 pukul 11.24 pagi

http://selangor.ikram.org.my/

Apabila kita melihat kepada strata sosial di mana setiap para sahabat Rasulullah saw mewakili golongan masing-masing nescaya kita akan dapati sekurang-kurangnya ada 24 segmen atau lapisan masyarakat yang diwakili.

  1. Abu Bakar ra mewakili golongan tua dan tokoh masyarakat.
  2. Ali bin Abi Thalib ra mewakili golongan muda terpelajar.
  3. Khadijah binti Khuwailid ra mewakili golongan wanita pengusaha.
  4. Zaid bin Haritsah ra mewakili golongan tenaga kerja (khadam).
  5. Bilal bin Rabah ra mewakili golongan bekas hamba.
  6. Suhaib Ar-Rumi ra mewakili wilayah dunia barat (Romawi).
  7. Salman Al-Farisi ra mewakili wilayah dunia Timur (Parsi).
  8. Utsman bin Affan ra mewakili golongan saudagar.
  9. Asma’ binti Abu Bakar ra mewakili golongan aktivis perempuan.
  10. Aisyah binti Abu Bakar ra mewakili golongan wanita terpelajar.
  11. Umar bin Khattab ra mewakili golongan elit dan penjawat awam.
  12. Usamah bin Zaid ra mewakili anak-anak belasan tahun (remaja lingkungan).
  13. Abdullah bin Umar ra mewakili golongan remaja terpelajar.
  14. Hasan bin Tsabit ra mewakili golongan pujangga dan penyair.
  15. Zaid bin Tsabit ra mewakili golongan muda ahli bahasa.
  16. Mus’ab bin Umair ra mewakili golongan elit muda bandar.
  17. Abdullah bin Ummi Maktum ra mewakili golongan orang kelainan upaya (OKU).
  18. Rafi’ bin Khudaij ra mewakili olahragawan dalam sukan memanah.
  19. Samrah bin Jundab mewakili olahragawan sukan gusti.
  20. Rufaidah ra mewakili golongan doktor dan perawat (tenaga medik).
  21. Al-Habbab bin Mundzir ra mewakili golongan tentera dan ahli strategi perang.
  22. Nuaim bin Mas’ud ra mewakili golongan ahli strategi dan pengurusan konflik.
  23. Ummu Aiman ra mewakili golongan wanita pekerja dan ibu rumahtangga.
  24. Abdullah bin Mas’ud ra mewakili golongan Qurra’ (Qari Al-Qur’an).

Daftar panjang nama sahabat-sahabat terkemuka yang mewakili berbagai segmen atau lapisan masyarakat yang ada merupakan gambaran kejayaan dakwah dan tarbiyah di zaman Rasulullah saw yang menyentuh hampir semua segmen yang ada di dalam masyarakat.

Kejayaan Rasulullah saw dalam membentuk dan membina para sahabat dari berbagai segmen tersebut menunjukkan pula keyakinan beliau bahwa semua segmen sosial memiliki potensi dan peluang sumbangan yang sama dalam memastikan jalan dakwah menuju kemenangan.

Kehadiran semua segmen sosial itu merupakan sebuah dokongan dan sinergi kekuatan bagi perjuangan menegakkan kebenaran. Selain itu, ia juga menyebabkan terbangunnya sebuah kesedaran kolektif yang kemudiannya melahirkan kekuatan kolektif yang pada akhirnya menandakan lahirnya sebuah peradaban baru dengan perubahan paradigma, sikap dan perilaku.

Ajaran Islam yang menyeluruh dan sempurna di zaman Rasulullah saw tidak hanya difahami dalam jajaran berbentuk konsep semata-mata, tetapi juga dipraktikkan pada jajaran berbentuk operasi sehingga jangkauan operasi dakwah beliau menjalar hampir ke semua segmen masyarakat.

Tidak ada satu segmen pun dalam masyarakat yang luput dari fokus sasaran dakwah dan tarbiyah dimulai dari :

  1. Kalangan muda hingga orang tua.
  2. Anak-anak hingga remaja.
  3. Hamba hingga orang merdeka.
  4. Fakir miskin hingga saudagar kaya.
  5. Buruh kasar hingga tenaga pakar.
  6. Masyarakat biasa hingga kumpulan elit politik.
  7. Olahragawan hingga pujangga.

Gambaran tersebut menunjukkan bahwa Rasulullah saw telah berhasil secara optimum memenuhi hak-hak tarbiyah semua orang kerana setiap orang berhak ditarbiyah agar memiliki pemahaman dan pengamalan nilai-nilai Islam secara baik tanpa memandang segmen sosial dari mana ia berasal.

Sepertimana :

Kemerdekaan adalah hak asasi setiap bangsa.

Maka :

Tarbiyah adalah hak yang mendasar pula bagi setiap manusia.

Oleh sebab itu Rasulullah saw diutus untuk menyampaikan risalah Allah swt dalam rangka memenuhi hak-hak seluruh manusia untuk memperolehi kebenaran seperti yang termaktub dalam Al Qur’an :

“Dan kami tidak mengutus kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, tapi kebanyakan manusia tiada mengetahui” (QS Saba’ : 28)

FALSAFAH TARBIYAH

Secara harfiah, perkataan tarbiyah tidak terdapat dalam Al-Qur’an, tetapi perkataan tersebut secara tersiratnya ada dalam istilah `ribbiyyuna katsir’seperti dalam ayat berikut :

“Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran : 146)

`Ribbiyyun’ menunjukkan hasil dari sebuah proses tarbiyah yakni orang-orang yang ditarbiyah.

  1. Mereka telah mendapatkan arahan rabbani secara intensif sehingga wawasan dan pemahaman mereka tumbuh dan berkembang serta keperibadian mereka terbentuk dan diwarnai dengan nilai-nilai Islam.
  1. Fikrah mereka juga terisi dengan pengetahuan yang mendalam mengenai dasar-dasar keislaman, baik masalah akidah, ibadah dan muamalah serta akhlak.

Kesemua itu akhirnya membuatkan peserta-peserta tarbiyah tersebut :

  1. Memiliki keupayaan berfikir yang kuat.
  2. Tidak mudah takut.
  3. Tidak mudah lemah dan menyerah dalam menghadapi berbagai rintangan di jalan dakwah.
  4. Tidak tinggal diam atau membisu.
  5. Menampakkan kesungguhan daya juang yang tinggi.
  6. Memiliki kesabaran yang produktif di jalan dakwah.

Kalau dilihat secara sepintas lalu, seolah-olah tidak ada perbezaan antara istilah dakwah dan tarbiyah, tetapi sebenarnya ada perbezaan yang spesifik di antara kedua istilah tersebut.

Pengertian dakwah dalam Al-Qur’an lebih bersifat umum yakni berbentuk tabligh dan ta’lim iaitu hanya menyampaikan dan mengajarkan sahaja sehingga ianya bersifat satu arah.

Sementara pengertian tarbiyah menunjukkan adanya intensiti pembinaan, hubungan, penilaian dan komunikasi dua arah.

Perbezaannya memang lebih kepada masalah teknik pengoperasiannya sehingga mungkin dapat dikatakan bahwa tarbiyah adalah dakwah khusus kerana bersifat lebih menjiwai dan mendalam.

Demikian pula halnya dengan pengertian pendakwah dan murabbi.

Tugas pendakwah lebih merupakan usaha :

  1. Membuka wawasan.
  2. Mengetuk pintu nurani dan masih bersifat sementara baik dari segi kekerapan mahupun keterikatan hubungan dengan orang-orang yang didakwahkannya.
  3. Bersifat satu arah dalam hal komunikasi.

Sedangkan murabbi memiliki :

  1. Kekerapan dan keterikatan hubungan yang lebih kekal.
  2. Penggunaan komunikasi dua arah sehingga berlakunya proses simbiosis secara timbal balik.

Di satu segi, seorang murabbi memberikan `output’ tarbawi namun di segi lain tetap memerlukan `input’ tarbawi dari para mutarabbinya.

Oleh sebab itu terdapat arahan kuat dari Allah swt agar kita menjadi `rabbaniyyin’ (orang-orang yang ditarbiyah) yang sentiasa bersemangat mengajarkan Al-Qur’an dan juga mengkaji Al Qur’an secara intensif sebagaimana friman Allah swt :

“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.” Akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.” (QS Ali Imran : 79)

Secara psikologinya, memang ada perbezaan antara pendakwah dan murabbi. Setiap murabbi pasti juga ia seorang pendakwah, tetapi tidak semua pendakwah-pendakwah menjadi murabbi. Kayu ukur perbezaannya ada pada tahapan dan cara kerja serta hasilnya.

Pengertian pendakwah boleh diumpamakan seperti usaha yang baru sampai pada tahapan membuka hutan dan menyemai benih tanaman, tetapi belum menumpukan dengan program-program berterusan yang akan merawat benih tersebut agar dapat tumbuh dan berkembang menjadi pohon yang berkualiti yang akarnya menghunjam kuat ke dalam perut bumi serta produktif berbuah setiap saat sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Qur’an :

“Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.” (QS Saba’ : 24)

Jadi, pendakwah belum sampai kepada tahapan merubah akhlak dan membentuk keperibadian.

Sebahagian pendakwah dilihat dari tatacara kerjanya, menunjukkan kecenderungan menerapkan sistem `one man show’ atau `single fighter’.

Mereka memiliki aspek keperibadian yang dominan sehingga orang-orang yang di bawah pengaruh dakwahnya lebih kuat mempunyai komitmen berbentuk peribadi yang ada hubungan emosi-karismatik berbanding komitmen terhadap nilai yang rasional.

Kesan ini masih sangat kental mewarnai hubungan sebahagian pendakwah dengan ummatnya sehingga justeru memelihara hairaki sosial, pengagungan terhadap individu dan fanatik peribadi meskipun ianya dibungkus dengan kemasan Islam.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahwa secara umumnya para pendakwah bentuk ini baru sampai pada taraf menyemarakkan arena dakwah dengan aneka ceramah yang lebih berbentuk retorik. Jadi sebenarnya, ia belum sampai pada tahap merubah secara `revolusi’ sebagaimana semangat perubahan yang mewarnai generasi pertama di zaman Rasulullah saw.

Sedangkan sebaliknya seorang murabbi lebih menekankan pada komitmen nilai dan bukannya komitmen keperibadian sehingga tidak berlaku penumpuan hanya kepada satu tokoh yang karismatik. Di samping itu, murabbi lebih memberikan perhatian pada proses tarbiyah dan mengembangkan semangat dialog dan penyertaan aktif dalam kerangka amal jama’ie.

Rasulullah saw dan para sahabat lebih berperanan sebagai murabbi berbanding pendakwah, maka oleh kerana itu, tidak seorang sahabat pun yang menyandang gelaran sebagai `Pendakwah Terkenal’. Namun kerja dakwah mereka begitu nyata dan produktif dalam hal mentarbiyah, membina dan membentuk peribadi, rumah tangga dan masyarakat yang Islamik.

Strategi dakwah `one man show’ atau `single fighter’ tidak pernah diterapkan oleh Rasulullah saw dalam berdakwah dan berjuang.

Beliau benar-benar sedar bahwa ianya tidak mungkin secara sendirian memenuhi hak tarbiyah semua orang dari berbagai segmen di dalam masyarakat. Oleh kerana itu beliau tidak membiarkan peranan sebagai murabbi bertumpu kepada dirinya. Beliau menanamkan semangat dan mengagih-agihkan tugas-tugas sebagai murabbi kepada para sahabat.

Para sahabat Rasulullah saw adalah sesuai dengan penguasaan mereka masing-masing dan secara aktif melakukan pembinaan tarbawi.

Abu Bakar ra misalnya berjaya mengambil dan mentarbiyah orang-orang yang berada di segmen yang sama dengannya yakni kalangan tokoh dan saudagar kaya.

Mush’ab bin Umair ra sangat produktif dalam mentarbiyah golongan elit politik Madinah.

Abdullah bin Ummi Maktum ra menunjukkan prestasinya dalam mentarbiyah lapisan masyarakat kelas bawah.

Ada juga yang tidak terduga di mana seorang bekas hamba iaitu Khabbab bin Al-Arath secara diam-diam berjaya mentarbiyah adik Umar bin Khattab iaitu Fatimah binti Khattab dan suaminya Sa’id bin Zaid di mana secara tidak langsung, Fatimah juga menjadi sebab kemasukan Umar bin Al Khattab ra ke dalam Islam.

HAK DAN KEWAJIBAN TARBIYAH

Secara umumnya setiap orang sangat senang dan memberi tindak balas dengan penuh minat apabila hak-haknya dibicarakan dan diperjuangkan. Lebih-lebih lagi apabila hak-hak yang ditawarkan tersebut berbentuk material, maka semua tangan akan menjulur ke depan, berlumba-lumba terlebih dahulu untuk mendapatkan haknya. Namun tidak demikian halnya dengan hak tarbiyah.

Tidak semua orang mahu menerimanya apalagi sampai memintanya. Oleh sebab itu diperlukan usaha memberi kesedaran dan penjenamaan semula agar setiap orang dengan senang hati mahu menerima dan bahkan menuntut haknya untuk ditarbiyah iaitu haknya untuk mendapatkan pengarahan yang benar dalam memahami dan melaksanakan nilai-nilai Islam.

Jika di satu segi, tarbiyah adalah hak semua orang, maka di segi yang lain mesti difahami bahwa tarbiyah merupakan kewajiban bagi sebahagian orang.

Mereka adalah orang-orang yang telah mendapatkan kurniaan kebaikan dari Allah berupa hidayah dan kelapangan dada untuk menerima dan melaksanakan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Sebagai bukti rasa syukur kepada Allah di atas segala kurniaan dan hidayah yang diberikanNya, maka seseorang itu mestilah berbuat baik kepada orang lain dengan cara mentarbiyahnya sebagaimana firman Allah swt dalam Al Qur’an :

“Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu” (QS Al Qasshass : 77)

Jadi, TARBIYAH adalah HAK dan sekaligus KEWAJIBAN.

Setiap muslim mesti berusaha menjadi orang-orang yang `rabbani’ yang sentiasa berusaha memperolehi hak-haknya dan kemudiannya menunaikan kewajibannya mentarbiyah orang lain.

Tidak ada satu alasan pun untuk mengurangi hak-hak tarbiyah seseorang walaupun ia seorang ahli maksiat.

Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya `Ushulud Dakwah’, menceritakan bahwa mereka mesti tetap dipandang dengan penuh rasa sayang dan belas kasihan serta dipenuhi hak-hak tarbiyahnya agar suatu ketika ia menjadi insaf.

Demikianlah yang dicontohkan oleh Rasulullah saw dalam sikapnya terhadap Ikrimah bin Abu Jahal. Ikrimah selama ini dikenali sebagai penjahat perang yang tidak pernah ketinggalan di barisan hadapan dalam memerangi umat Islam. la memiliki dendam kesumat dan sentiasa ingin melampiaskannya dengan cara memerangi umat Islam kerana ayahnya Abu Jahal terbunuh di dalam Perang Badar.

Namun ketika peristiwa pembukaan Makkah, ia menyerahkan dirinya kepada Rasulullah saw dengan mengenderai kuda. Sesampainya di khemah Rasulullah saw, ternyata ia disambut oleh Rasulullah saw dengan penuh kehangatan dan kasih sayang:

“Marhaban Birrakibil Muhajir” “Selamat datang wahai si penunggang kuda yang hendak berhijrah (dari jahiliyah kepada Islam).”

Perlakuan Rasulullah saw yang penuh simpati dan penuh kelembutan membuatkan Ikrimah:

  1. Bersimpuh di pangkuan tarbiyah Rasulullah saw.
  2. Bertukar 180 darjah dan mengisi lembaran-lembaran kehidupannya dengan kebajikan-kebaijkan yang luar biasa.
  3. Berubah menjadi penulis wahyu yang diabadikan di dalam kitab-kitab tafsir hingga saat ini.
  4. Mendapatkan kurniaan syahadah dalam perang Yarmuk di masa kekhalifahan Abu Bakar As-Siddiq ra.

Oleh kerana itu, tidak ada alasan untuk mengabaikan hak-hak tarbiyah seseorang hanya kerana ia dianggap tidak mempunyai harapan lagi atau mendahului kehendak Allah dengan menganggap bahwa orang tersebut sudah ditakdirkan untuk binasa dan diazab oleh Allah swt.

Bukankah Rasulullah saw sentiasa berusaha dengan mujahadah lahiriyah dan batiniyah agar dapat memenuhi hak-hak tarbiyah kaum Quraisy termasuk kaum elitnya, sehingga beliau pernah secara khususnya berdoa agar Allah berkenan kiranya memberi hidayah kepada salah seorang di antara dua Umar,

“Allahumma a’izzal biahadil umarayn” (Ya Allah muliakanlah Islam dengan dua Umar, Umar bin Al Khattab dan Amru bin Hisyam (Abu Jahal))”.

Maka doa baginda dikabulkan dengan masuk Islamnya Umar bin Al Khattab yang memberi petanda awal kebangkitan dakwah Islam.

Rasulullah saw bahkan tetap menunjukkan semangat mentarbiyah orang lain meskipun usianya sudah di ambang senja. Bukankah beliau mulai mentarbiyah para sahabatnya ketika usianya sudah menjangkau empat puluhan?

Oleh kerana itu, jangan sampai ada anggapan bahwa semangat mentarbiyah adalah semangat untuk darah muda ketika kita masih menjadi pelajar atau mahasiswa sehingga ketika kita sudah berkeluarga, usia bertambah dan disibukkan dengan aktiviti mencari keperluan hidup dan mengurus keluarga, kewajiban mentarbiyah pun ditinggalkan.

Sayugianya, kemahiran mentarbiyah tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana para sahabatpun ketika di usia senja, mereka masih terus mengasah keterampilan memanah mereka.

Ketika ditanya oleh seseorang :

“Mengapa kamu setua ini masih lagi terus berlatih memanah?” ternyata jawabannya sungguh mencengangkan kita.

“Aku merasa berdosa kalau kemahiran yang pernah kudapatkan di saat Rasulullah masih ada hilang begitu sahaja kerana telah aku tinggalkan.”

Selain merupakan kewajiban, kegiatan mentarbiyah adalah suatu usaha agar dapat memiliki alasan untuk berlepas diri apabila kelak nanti diminta pertanggungjawabannya di sisi Allah swt iaitu telah dilakukan satu usaha optimum untuk mengajak orang lain kepada kebenaran sesuai dengan manhaj yang diajarkan oleh Rasulullah saw.

Kewajiban seorang murabbi hanyalah mentarbiyah, sementara hak memberi hidayah sepenuhnya di tangan Allah swt.

Tidak seorang pun berhak mendahului kehendak Allah bahwa orang atau kelompok tertentu tidak perlu lagi didakwah atau ditarbiyah kerana dianggap layak atau sepantasnyalah dibi-nasakan dan diazab oleh Allah swt.

Seseorang yang faham benar tentang kepentingan mentarbiyah tidak akan mudah berputus asa dan mendahului kehendak Allah. Sebaliknya ia memiliki motivasi yang semakin kuat untuk mentarbiyah agar memiliki alasan berlepas diri untuk pertanggungjawaban di hadapan Allah swt kelak sebagaimana firman Allah swt dalam Qur’an:

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati satu kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa”. (QS Al A’raf : 164)

PENTARBIYAHAN SEGMEN WANITA

Kesempurnaan Islam tidak hanya nampak dari segi komprehensif ajarannya tetapi juga terlihat dari kelengkapan segmen pendukungnya. Perkara itulah yang menyebabkan Islam dapat berkembang dan memiliki susunan sosio-politik yang kuat.

Di zaman Rasulullah saw, seluruh segmen masyarakat diperkuatkan agar dapat memberikan sumbangan bagi kejayaan Islam.

Contohnya dalam segmen ketenteraan, Rasulullah saw memperkukuhkan asas ketenteraannya dengan program pemindahan teknologi persenjataan perang dari negara lain. Beliau mengutus dua orang sahabatnya untuk mempelajari teknologi senjata jenis manjanik.

Perhatian Rasulullah saw yang besar terhadap segmen ketenteraan tidak membuatkan beliau berkurang perhatiannya terhadap segmen-segmen lainnya, misalnya segmen kewanitaan.

Islam memberikan kesamarataan antara laki-laki dan wanita dalam ketakwaan, peluang memberikan sumbangan amal seperti firman Allah swt :

“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): “Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain.” (QS Ali Imran : 195)

Begitu juga hak untuk mendapatkan tarbiyah secara optimum kerana memiliki hubungan persahabatan yang berlandaskan keimanan dan amal soleh sebagaimana firmanNya :

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS At Taubah : 71)

Rasulullah saw memberikan perhatian khusus untuk mentarbiyah segmen wanita kerana menyedari peranan dominan wanita dalam mentarbiyah anak-anaknya dan kaumnya. Bahkan dalam sebuah perumpaman dikatakan bahwa wanita adalah madrasah, sekolah yang mendidik sebuah generasi :

“Ibu adalah madrasah. Jika kamu mempersiapkannya dengan baik maka bererti kamu telah mempersiapkan sebuah generasi yang baik.”

Isteri-isteri Rasulullah saw (ummahatul mukminin) dan para shahabiyah telah membuktikan peranannya sebagai madrasah yang sentiasa mentarbiyah anak-anaknya dengan celupan Islam. Bahkan dapat dikatakan hampir tidak ada anak-anak sahabat yang tidak mewarisi nilai-nilai kebaikan dari orang tuanya.

Sebut sahaja misalnya Usamah bin Zaid yang dibesarkan dan dididik oleh ibundanya Ummu Aiman ra. la menjadi panglima perang dalam usia 18 tahun.

Begitu pula Abdullah bin Zubair yang akhirnya menemui syahadah dalam mempertahankan prinsip, dididik dengan baik oleh ibunya, Asma’ binti Abu Bakar ra.

Begitu juga Umar bin Abdul Aziz rahimahullah, seorang Khalifah Bani Umayyah yang benar-benar mewarisi keutamaan akhlak dan perangai datuknya, Umar bin Al Khattab ra. Ibu Umar bin Abdul Aziz adalah seorang gadis penjual susu yang jujur yang kemudiannya dinikahi oleh Ashim bin Umar bin Umar atas anjuran ayahnya, Umar bin Al Khattab.

Peranan sahabiyah dalam mentarbiyah anak-anaknya sangat besar sahamnya dalam melahirkan sebuah generasi yang tetap menjaga ketulenan Islam (ashalah Islamiyah) yang kemudiannya dikenali sebagai generasi tabi’in dan tabiit-tabi’in.

Mengapa para sahabiyah yang sekaligus merupakan isteri shahabat-shahabat Rasulullah saw mampu melakukan kerja besar seperti itu?

Ternyata jawabannya adalah kerana mereka tidak sekadar menanti atau menerima hak-hak tarbiyahnya, melainkan meminta dan menuntut langsung hak-hak tarbiyah mereka kepada Rasulullah saw sebagaimana beliau memenuhi hak-hak tarbiyah para sahabat.

Dalam satu riwayat disebut bahwa para isteri sahabat suatu ketika merasa irihati kepada suami-suami mereka kerana sentiasa mendapat wawasan dan pengetahuan yang baru dari Rasulullah saw. Mereka lalu menghadap Rasulullah dan memohon pada baginda agar mereka mendapatkan hak yang sama seperti yang didapati oleh para suami mereka.

“Wahai Rasulullah, berikanlah kesempatan dan waktu buat kami, satu atau dua hari untuk mendapatkan pengajaran syariat Islam darimu,”

Tuntut mereka dengan penuh semangat.

“Berkumpullah kamu pada hari ini dan ini.”

Demikianlah Rasulullah saw langsung menyahut kesungguhan dan semangat mereka dalam menuntut pemenuhan hak-hak tarbiyah mereka.

Ya Allah, kurniakanlah kekuatan dariMu sehingga kami mampu menarik sebanyak mungkin golongan manusia dari berbagai segmen yang akan memperkukuhkan gema dakwah dan tarbiyah yang menjadi hak dan kewajiban setiap orang dalam menegakkan syariatMu di muka bumi ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS Shah Alam30/6/2010 @ 6:03 PM

No comments:

Post a Comment